comscore
Tumpuan :
Nasional

5 Lokasi Air Terjun Di Sik Berisiko Berlaku Kepala Air

SIK: Lima lokasi air terjun di daerah ini dikenal pasti berisiko berlaku kepala air ketika musim tengkujuh dan boleh membahayakan keselamatan pengunjung.

Kelima-lima lokasi berkenaan ialah Lata Mengkuang, pusat peranginan Rimba Taqwa, Lata Charok Rambai, Lata Batu Hampar Hujung Bandar dan Sungai Viral di Jeneri.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata orang ramai sehubungan itu dinasihatkan tidak mengunjungi kawasan peranginan air terjun berkenaan bagi mengelak kejadian buruk.

Beliau berkata, beberapa kampung juga didapati kerap berlaku banjir kilat iaitu Mukim Sok di Gulau, Kampung Landai, Kampung Kemelong dan Kampung Hujung Bandar.

“Kawasan Sik ini adalah tadahan Ulu Muda dan jika hujan lebat melebihi tiga jam, paras air Sungai Muda akan meningkat, seterusnya mengundang berlaku banjir di beberapa tempat dan surut selepas satu atau dua jam kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Balai Polis Jeniang, di sini, hari ini, yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Kawalan Lalu lintas/Pengurusan Saman, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Mohd Nadzri Hussain.

Hadir sama, Timbalan Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.

Abdull Razak berkata, pihaknya turut menubuhkan dua pasukan khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik untuk menghadapi Monsun Timur Laut kali ini.

Balai Polis Jeniang adalah adalah satu-satu balai berbentuk kubu yang dibina sejak 74 tahun lalu iaitu pada tahun 1948 untuk menentang pengganas komunis.

Pentadbiran balai polis itu pada asalnya diletakkan di bawah naungan IPD Gurun (kini Kuala Muda) sebelum ditukarkan ke IPD Sik.

Keluasan kawasan pentadbiran balai polis berkenaan adalah sejauh 180 kilometer persegi meliputi dua mukim iaitu Mukim Teloi dan Mukim Jeneri dengan majoriti penduduk adalah golongan petani. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini