comscore
Tumpuan :
Nasional

5 PPS mangsa banjir dibuka di Sarawak

FOTO: NSTP

KUCHING: Lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kuching dan Bau berikutan banjir kilat melanda dua daerah itu hari ini.

Sehingga jam 2.30 petang, seramai 374 mangsa daripada 134 keluarga ditempatkan di lima PPS terbabit.

Daripada jumlah itu, seramai 194 mangsa daripada 82 keluarga ditempatkan di PPS Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa.

PPS Dewan Masyarakat Stapok, Batu Kawa pula menempatkan 98 mangsa daripada 23 keluarga.

Jumlah mamgsa yang ditempatkan di satu lagi PPS di Kuching iaitu Dewan Taman Malihah, Matang pula belum diperolehi kerana masih dikemas kini.

Sementara itu di daerah Bau, dua PPS dibuka iaitu di Dewan Kampung Segong yang menempatkan seramai 76 mangsa daripada 18 keluarga, manakala Balai Raya Kampung Senibung pula menempatkan enam mangsa sekeluarga.

Banjir kilat melanda dua daerah itu susulan hujan lebat bermula jam 1 pagi dan berlarutan sehingga jam 6 pagi.

Seorang mangsa, Zainal Abdullah, 56, berkata, beliau terkejut melihat banjir kilat kali ini yang disifatkannya luar biasa, kerana dua banjir yang berlaku pada Januari dan Februari lalu tidak seteruk yang berlaku pagi tadi.

Menurutnya, banjir kilat pertama melanda Kampung Sinar Budi Baru, pada 28 Januari lalu disusuli yang kedua pada 16 Februari.

“Rumah saya mula dinaiki air mulai jam 4 pagi dan saya hanya mampu melihat kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

“Mujurlah anggota penyelamat datang membantu dan memindahkan saya ke PPS pada jam 7 pagi,” katanya kepada Berita Harian.

Zainal sukar bergerak dan terpaksa berkerusi roda akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu.

Seorang lagi mangsa, Zulia Sulong, berkata air naik dengan cepat sehingga paras dada di dalam rumahnya dalam tempoh kurang satu jam.

“Belum pernah saya melihat air naik begitu cepat seperti yang berlaku hari ini dan ini juga paras tertinggi air pernah memasuki rumah saya selepas beberapa kali banjir melanda sebelum ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini