comscore
Tumpuan :
Nasional

5 premis makanan di Tanah Merah diarah tutup 14 hari – JKNK

Foto hiasan

TANAH MERAH: Lima premis menjual makanan di sini diarahkan tutup 14 hari kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan menerusi Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri Lima 2024 yang dijalankan semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata arahan penutupan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Pemeriksaan kali ini memberi keutamaan kepada premis makanan yang terletak sekitar bandar, jalan utama hingga sempadan Tanah Merah memandangkan ia menjadi tempat tumpuan orang ramai.

“Operasi kali ini melibatkan pemeriksaan ke atas 58 premis makanan terdiri daripada kedai makan dan restoran dengan membabitkan 80 petugas JKNK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Dr Zaini berkata, sebanyak 97 notis Seksyen 32B yang memerintahkan kehadiran di mahkamah dikeluarkan pihaknya kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya kesalahan itu termasuk berkaitan pakaian dan kebersihan pengendali makanan, tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya premis makanan dan tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran premis makanan.

“Jumlah nilai kesalahan di bawah notis Seksyen 32B itu ialah RM 20,450 dan boleh dibayar kompaun dalam tempoh masa sebulan dari tarikh notis dikeluarkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini