MUAR: Polis mengesahkan sudah menahan lima individu termasuk suspek utama kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan lelaki warga asing di Bakri, Selasa lalu.
Mereka ditahan termasuk dua wanita masing-masing warga Myanmar dan Indonesia berusia 36 dan 48 tahun, di dua lokasi berasingan di sebuah taman perumahan di Johor Bahru selepas dipercayai melarikan diri sejurus kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata selain wanita, mereka yang ditahan ialah tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 26 hingga 44 tahun.
Beliau berkata, penahanan suspek dibuat pada jam 8.30 malam Jumaat lalu hasil kerjasama pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
“Tangkapan terhadap kesemua suspek dilakukan susulan kes pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di Bakri.
“Soal siasat terhadap kesemua suspek ditahan mendapati mereka mengaku terbabit dalam pergaduhan membabitkan 11 warga asing yang menyebabkan seorang daripadanya maut.
“Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan beberapa helai pakaian milik semua suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, kesemua suspek sudah direman tujuh hari bermula Sabtu lalu dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam kejadian jam 10.30 malam, seorang pekerja kilang perabot warga Myanmar maut selepas terbabit dalam pergaduhan di asrama terbabit.
Mangsa yang parah di kepala akibat dipukul objek keras meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.