Tumpuan :
Nasional

450 keluarga mangsa banjir di Kemaman dipindahkan

FOTO: NSTP

CHUKAI: Kira-kira  450 buah keluarga di tiga perkampungan di Kemaman telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kesemua mangsa dari Taman Perumahan Rakyat Teluk Kalong, Meraga Beris Kijal dan Kampung Labohan Kerteh mula berpindah sejak 3 petang tadi.

Menurutnya, kira-kira 400 keluarga di Taman Perumahan Rakyat dipindahkan ke PPS Darul Iman Traning Centre (DITC) Teluk Kalong manakala mangsa banjir di dua lagi kampung dipindahkan di PPS berhampiran.

“Kita berpuashati mendapat kerjasama yang baik daripada kesemua mangsa banjir termasuk agensi penyelamat dari bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berusaha keras memindahkan kesemua mangsa dalam tempoh yang singkat.

“Kita juga mengambil tindakan pantas memotong bekalan elektrik di kawasan terbabit demi keselamatan penduduk serta memudahkan pasukan penyelamat memindahkan mangsa banjir,” katanya.

Hanyan berkata, keadaan hujan lebat yang berterusan sehingga 14 jam sejak malam tadi menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan luruan monsun membawa hujan lebat dijangka berterusan.

“Jadi kita minta kepada semua penduduk di kawasan berisiko dengan banjir supaya bersiap sedia dan segera berpindah sebaik diarah pihak berkuasa,” katanya

Sementara itu, Hanyan berkata pasukan penyelamat juga turut bersiap sedia menghadapi kemungkinan air pasang yang dijangka bermula kira-kira jam 2 pagi nanti.

“Jangkaan air pasang besar itu setinggi kira-kira 3.6 meter dan agensi penyelamat akan memantau di kawasan sering dinaiki air itu.

“Bagaimanapun kita jangkakan keadaan masih terkawal di peringkat awak dan mungkin tidak akan berlaku pemindahan namun kita akan pantau kawasan terbabit, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini