comscore
Tumpuan :
Nasional

50,769 warga asing ditolak masuk Malaysia sejak April

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Seramai 50,769 daripada 10.4 juta warga asing yang tiba di semua pintu masuk negara ditolak kemasukan (NTL) ke negara ini sejak pintu negara dibuka April lalu sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, 40 peratus daripada jumlah warga asing yang ditolak masuk itu diletakkan dalam senarai hitam dan pulang ke negara asal melalui Program Rekalibrasi yang tamat pada penghujung tahun lalu.

Menurutnya, warga asing itu cuba masuk semula ke negara ini dan sebahagiannya menggunakan taktik sebagai pelancong namun ketika pemeriksaan dijalankan tidak mematuhi syarat seperti tidak mempunyai tempat tinggal, hotel dan wang mencukupi untuk perbelanjaan.

Katanya, warga asing itu juga disyaki cuba masuk ke negara ini untuk bekerja secara tidak sah.

“Warga asing yang ditolak kemasukan itu terdiri dari warga India, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan Autogate kepada pemegang Pas Jangka Panjang di sini, hari ini.

Bermula hari ini JIM mengambil langkah inovatif dalam pengurusan kemasukan warga asing ke Malaysia melalui peluasan kemudahan Autogate kepada pemegang Pas Jangka Panjang berbanding sebelum ini hanya boleh digunakan oleh warganegara Malaysia sahaja.

Warga asing yang mempunyai Pas Jangka Panjang diberi pilihan untuk menggunakan kemudahan Autogate setiap kali keluar masuk ke negara ini.

Ia dilaksanakan secara rintis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bermula 16 September lalu dan sepanjang tempoh itu sehingga 15 November lalu seramai 1,910 pemegang Pas Jangka Panjang menggunakan kemudahan itu. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini