comscore
Tumpuan :
Nasional

Bapa terkilan tidak sempat selamatkan anak

Suhaimi menunjukkan gambar anaknya yang ditemui lemas dalam kereta yang terjunam di Sungai Korok, Jitra, semalam. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: “Saya terkilan tak sempat selamatkan anak yang masih berada dalam kereta… masih terngiang dia menjerit abah… abah,” kata Suhaimi Hassan, 37.

Anak Suhaimi, Muhammad Khairil Muhaimin, 12, ditemui lemas dalam Proton Saga selepas kereta dinaiki mereka sekeluarga terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra, semalam.

Menurutnya, ketika kereta hampir tenggelam, dia dan isterinya, Nurul Aqmar Zainol, 35, yang hamil tujuh bulan berjaya keluar namun, anak sulungnya gagal menyelamatkan diri.

“Terdengar arwah menjerit, abah.. abah dan pada masa sama saya serta isteri cuba menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap.

“Saya cuba berenang mencarinya selepas itu tetapi kereta tenggelam ke dasar sungai,” katanya.

“Pada masa sama, saya teringatkan anak yang masih berada dalam kereta itu dan cuba berenang mencarinya tetapi kereta itu tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Suhaimi berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke pekan Jitra dari rumah ibu mentuanya di Tanjung Kapur untuk membeli susu anak bongsu yang berusia dua tahun.

Katanya, secara tiba-tiba dia terasa stereng keretanya seperti ‘ditolak’ ke kiri dan kanan tetapi dia cuba mengawal keadaan, namun hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Dia juga memberitahu mengesan banyak perubahan sikap anak sulung daripada tiga beradik itu namun sukar menjelaskan satu persatu kerana masih trauma.

“Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan anak buat selamanya,” katanya yang memberitahu arwah anaknya adalah murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payung, Pokok Sena.

Menurutnya, mereka sekeluarga menetap di Bukit Payung, Pokok Sena tetapi bermalam di rumah keluarg di Tanjung Kapur sejak dua hari lalu kerana ibu mentua tidak sihat.

Jenazah Muhammad Khairil Muhaimin akan dibawa ke Tanjung Kapur di Jitra untuk dikebumikan, hari ini.

Loading...
Terkini