comscore
Tumpuan :
Nasional

51 penduduk dipindahkan ke PPS susulan banjir kilat sekitar Alor Gajah

Kamarulsyah bersama Nor Farhani meninjau operasi di PPS Balai Raya Japerun Durian Tunggal, malam tadi. – Foto ihsan APM Melaka

MELAKA: Setakat jam 8 pagi ini, seramai 51 penduduk daripada 13 keluarga di tiga kampung telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Japerun Durian Tunggal, susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar Alor Gajah sejak malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, mangsa adalah penduduk dari Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Bukit Tambun di Durian Tunggal.

Katanya, hujan lebat selama lebih dua jam sejak jam 4 petang semalam menyebabkan air parit dan sungai melimpah ke kawasan penempatan yang rendah.

Justeru bagi mengelak sebarang risiko, beliau berkata, 13 keluarga terbabit akur untuk berpindah sementara ke PPS berkenaan yang diaktifkan pada jam 9 malam tadi.

“Antara kawasan lain yang turut terjejas di daerah Alor Gajah ialah Kampung Tabuh Naning, Pekan Lubuk China, Kampung Sungai Jernih, Taman Masjid Tanah Ria, Kampung Brisu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Durian Tunggal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Petugas JKR meletakkan papan tanda amaran di lokasi Jalan Jelatang-Durian Tungga. FOTO Ihsan FB JKR Melaka

Beliau berkata, anggota APM meneruskan pemantauan rapi di kawasan terjejas, manakala orang ramai diminta peka dan mengikut arahan pasukan penyelamat bagi mengelak sebarang risiko banjir.

Terdahulu, Kamarulsyah bersama Timbalannya, Mejar (PA) Nor Farhani Mat Husin, turut meninjau operasi di PPS berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini