Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Sebanyak 53 laporan berkaitan buli diterima melalui saluran HelpDoc Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sejak saluran itu dibuka pada 2017.
Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata antaranya buli laporan mengenai penderaan lisan dan komen yang merendahkan maruah petugas kesihatan.
Menurut beliau terdapat juga laporan mengenai layanan yang tidak adil, cemuhan kaum dan ugutan dalam kalangan petugas kesihatan yang diterima melalui saluran berkenaan.
Selain itu, beliau berkata buli siber yang berlaku dalam kalangan petugas kesihatan juga merupakan masalah meruncing yang perlu ditangani segera.
“Paling penting untuk menangani isu buli, mangsa mesti menggunakan saluran yang tersedia seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan HelpDoc MMA untuk membuat laporan.
“Semua aduan atau laporan yang diterima MMA melalui HelpDoc akan dibawa ke perhatian Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka yang merasakan mereka dibuli tidak sepatutnya menderita dalam diam,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Jelas Datuk Dr Kalwinder, tindakan hanya boleh diambil setelah pihak berkaitan menerima laporan yang dibuat.
Sebelum ini media melaporkan, beberapa doktor yang menjadi mangsa buli di sebuah hospital awam di Sabah, tampil berkongsi pengalaman masing-masing dibuli secara verbal dan fizikal, apabila dihambur kata-kata kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.
Malah, ada yang mendakwa sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional mereka diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.