comscore
Tumpuan :
Nasional

53 peratus keluasan Sabah adalah hutan simpan, dilindungi – Hajiji

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Kira-kira 53 peratus daripada keluasan tanah Sabah adalah hutan simpan kekal dan kawasan dilindungi, angka yang melangkaui ketetapan Deklarasi Langkawi 1989 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan semula jadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kawasan itu menyediakan habitat untuk pelbagai spesies, selain menjadi zon penampan yang menghalang penebangan hutan di samping bertindak sebagai koridor hijau yang membolehkan pelbagai spesies berhijrah merentasi landskap, yang amat penting untuk kelangsungan hidup mereka.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga lebih awal merangka cadangan dan tindakan untuk pelaksanaan, dengan strategi untuk mempromosi, melindungi dan mengurus sumber asli secara mampan, selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak Bumi serta konvensyen dan perjanjian lain.

“Agroforestry sebagai sistem guna tanah boleh menyumbang kepada pencapaian sekurang-kurangnya sembilan daripada 17 matlamat pembangunan mampan (SDG),” katanya dalam ucapan beliau pada majlis makan malam sempena perasmian 4th International Conference in Agroforestry 2022 (ICAF 2022) di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan.

Hajiji berkata, Malaysia terutama Sabah memiliki kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem yang mempunyai kepentingan global, sekali gus menjadikan aspek pemuliharaan amat penting, dan semasa negara-negara sedang berunding di Sidang Kemuncak Bumi pada 1992 lagi, Sabah sudah pun melakarkan pelan strategi pemuliharaannya.

Sementara itu, beliau berharap peserta ICAF 2022 akan menggunakan sepenuhnya persidangan dengan tema ‘Agroforestry for Sustainable and Resilient Communities’ ini, bukan sahaja untuk berkongsi hasil penyelidikan mereka, tetapi juga meningkatkan rangkaian penyelidikan di dalam dan luar negara bagi menjadikan agroforestry di rantau ini berjaya dan mampan.– BERNAMA

Loading...
Terkini