comscore
Tumpuan :
Nasional

537 mangsa banjir berlindung di 10 PPS di Perak

FOTO: Ihsan APM

IPOH: Situasi banjir di Perak semakin memburuk petang ini apabila 537 orang daripada 152 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

Ia berbanding 150 orang daripada 52 keluarga jam 8 pagi tadi.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 4 petang menunjukkan, Larut, Matang dan Selama (LMS) menjadi daerah paling terjejas di Perak dengan merekodkan 382 mangsa (109 keluarga) ditempatkan di enam PPS.

Daripada jumlah itu, seramai 228 mangsa (66 keluarga) berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok.

FOTO: Ihsan APM

Difahamkan, peningkatan jumlah di PPS berkenaan disebabkan ban pecah akibat jumlah taburan hujan tinggi.

Selain itu, 48 orang (11 keluarga) ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor dan 39 mangsa (13 keluarga) dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru.

PPS Masjid Al-Wusta Batu 8 menempatkan 38 mangsa (lapan keluarga), PPS Dewan Orang Ramai Batu Hampar Trong menempatkan 17 mangsa (empat keluarga) dan 12 mangsa (enam keluarga) berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Jebong Kiri.

Turut terjejas adalah daerah Kuala Kangsar yang membabitkan 110 mangsa (32 keluarga) dipindahkan ke tiga PPS iaitu PPS SK Periang, PPS SK Temong dan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid.

“PPS SK Periang menempatkan 49 orang (16 keluarga), manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid menempatkan 40 orang (lapan keluarga).

“PPS SK Temong pula dihuni 21 mangsa (lapan keluarga),” katanya.

Di daerah Hilir Perak, semua 45 mangsa (11 keluarga) berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar masing-masing berada pada paras berjaga-jaga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini