comscore
Tumpuan :
Nasional

54 banduan terlepas hukuman gantung, digantikan dengan penjara 30 hingga 38 tahun

KOTA BHARU: Seramai 54 banduan terlepas hukuman gantung sampai mati, selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menggantikan hukuman terhadap mereka kepada penjara selama di antara 30 hingga 38 tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap kesemua banduan terbabit yang sebelum ini disabitkan dengan kesalahan masing-masing bagi kes bunuh dan dadah.

Bagi kes dadah, setiap mereka dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun, manakala kes bunuh antara 35 hingga 38 tahun.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menerima permohonan kesemua tertuduh yang dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Panel tiga hakim yang diketuai Tun Tengku Maimun bersidang bersama-sama Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Persidangan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini, pada semalam dan hari ini membabitkan enam kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan 48 kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, sebanyak lima kes bunuh dan 23 kes dadah, manakala hari ini pula membabitkan satu tertuduh kes bunuh dan 25 kes lagi kes dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz dan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol, manakala tertuduh diwakili peguam yang dilantik oleh pihak mahkamah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini