Tumpuan :
Nasional

545 penjawat awam ditahan SPRM dari Januari hingga Oktober tahun ini

Tan Sri Azam Baki ketika ditemui media selepas merasmikan pejabat baharu SPRM cawangan Keningau di Rumah Persekutuan, Keningau. – FOTO: Ihsan SPRM

KENINGAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seramai 545 atau 43.4 peratus daripada 1,257 individu yang ditahan sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini terdiri daripada penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sebanyak sembilan tangkapan membabitkan golongan pengurusan tertinggi, manakala pengurusan profesional (181) dan pelaksana/sokongan (357).

“Baki 712 individu atau 56.6 peratus yang ditahan bagi tempoh sama membabitkan golongan swasta dan orang awam.

“Antara kesalahan kes bagi penjawat awam iaitu menerima rasuah, beri rasuah, tuntutan palsu, salah guna kuasa dan kes penggubahan wang haram,” katanya ketika ditemui media pada majlis perasmian Pejabat SPRM Sabah cawangan Keningau di Rumah Persekutuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y Subbiah.

Azam berkata, tangkapan membabitkan penjawat awam di seluruh negara masih tinggi berdasarkan hampir 50 peratus.

“Sewajarnya jika kita mengatakan rasuah berkurangan dalam penjawat awam perlu di bawah 40 peratus dan semakin menurun mengikut tahun.

“Tetapi, nampaknya isu rasuah dalam negara kita membabitkan penjawat awam masih lagi perlu ditangani dengan lebih teliti, jelas dan efektif,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pejabat baharu SPRM cawangan Keningau, Azam berkata, pembinaannya bertujuan memperluas perkhidmatan sekali gus mempermudahkan masyarakat setempat berurusan dengan agensi itu.

“Saya mengharapkan masyarakat keseluruhannya terutama di daerah ini dan luar bandar, mereka pun sudah celik dengan isu semasa dan menyeru datang untuk berjumpa dengan pegawai SPRM.

“Tidak perlu lagi menghantar email, WhatsApp atau di media sosial, berhadapan dengan pegawai saya lebih mudah untuk mendapatkan penjelasan dengan lebih jelas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini