comscore
Tumpuan :
Nasional

55 golongan OKU, ibu tunggal, miskin terima kunci rumah PPRS

Foto: NSTP

KUANTAN: Seramai 55 Ketua Isi Rumah (KIR) bersyukur menerima layak menetap sementara melalui Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini.

Dengan bayaran sewa bulanan berjumlah RM125 termasuk kos penyelenggaraan, mereka berasa bertuah kerana menduduki rumah yang lebih selesa dengan bayaran sewa lebih rendah.

Bagi ibu tunggal, Saimah Sulong, 56, kadar sewa yang rendah dapat meringankan beban berbanding kadar sewa rumah lebih tinggi di daerah ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur,Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar (kanan) beramah mesra dengan penerima Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, Kuantan.

“Sebenarnya saya memohon rumah sewa PPRS ini tahun lalu dan berterima kasih kerana permohonan ini berjaya kerana sebelum ini menyewa pada kadar RM200 sebulan.

“Sebagai ibu tunggal sumber kewangan saya bergantung kepada kerja mengasuh dua kanak-kanak,” kata ibu tujuh anak berusia antara 17 dan 30 tahun yang ditemui pada majlis penyerahan kunci dan taklimat PPRS Pinggiran Kota di sini hari ini.

Pada majlis itu, program dihadiri Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar dan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Fadzilah Mohamed Tahir.

Pesara, Omar Awang, 71, berkata dia bersyukur dan lega kerana kadar sewa yang rendah itu banyak membantu kerana kadar sewa rumah sekarang mencecah sehingga RM700 sebulan.

“Saya memang tiada rumah dan sebelum ini tinggal di rumah mertua dan hanya bergantung kepada wang pencen,” katanya.

Sementara itu, Fadzilah berkata, seramai 236 permohonan diterima MBK pada tahun lalu dan daripada jumlah itu, 217 KIR layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Katanya, selepas tapisan dilaksanakan dengan mengutamakan golongan OKU, ibu tunggal dan miskin, seramai 55 KIR berjaya menetap di rumah PPRS Pinggiran Kota.

“PPRS Pinggiran Kota ini memiliki dua blok iaitu sebanyak 2,632 unit rumah yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini  setiap masa.

Loading...
Terkini