Tumpuan :
Nasional

55 kanak-kanak GISBH diselamatkan di Perak sudah dituntut keluarga

IPOH: Semua 55 kanak-kanak penghuni rumah amal GISB Holdings (GISBH) yang diselamatkan menerusi Op Global di Perak sudah dituntut keluarga.

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, semua kanak-kanak berkenaan sudah tidak lagi ditempatkan di rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya difahamkan semua sudah ‘clear’ (selesai)… kebetulan semalam (Isnin) saya sempat pergi ke tempat jagaan perlindungan kanak-kanak berkenaan dan semua sudah ‘clear’.

“Sudah tiada sesiapa di sana kerana semua mereka sudah dituntut keluarga,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Gadis Hebat Negeri Perak Tahun 2025 di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh di sini hari ini.

Pada 17 Disember lalu, Salbiah memaklumkan sebilangan besar 55 kanak-kanak penghuni rumah amal GISBH yang diselamatkan menerusi Op Global di negeri ini sudah dituntut keluarga dengan ketika itu proses tuntutan masih berlaku, namun tertakluk hasil siasatan polis.

Terdahulu, pada 16 Disember Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan 136 kanak-kanak GISBH yang belum dituntut keluarga, ditempatkan di sembilan institusi JKM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini