comscore
Tumpuan :
Nasional

566 aduan kesalahan sepanjang 11 hari Op Pantau – Amirzan

Datuk Armizan (tiga dari kanan) meninjau harga beras tempatan rahmah pada Program Jualan Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah Garden Homes Seremban 2. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 566 aduan kesalahan sepanjang 11 hari Op Pantau bagi memantau aktiviti perniagaan sepanjang Ramadan.

Penguatkuasaannya yang mula dilaksanakan pada 12 Mac lalu dijalankan secara berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, pasar awam, pasar basah, pasar raya, kedai runcit dan aktivtiti penjualan secara dalam talian.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sepanjang tempoh berkenaan hingga semalam, sebanyak 19,428 premis telah diperiksa di seluruh negara.

Datuk Armizan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada  Program Jualan Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah Garden Homes Seremban 2. – FOTO: NSTP

Jenis aduan yang diterima membabitkan kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang tiruan.

“Daripada jumlah itu, 81 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sebanyak RM411,874.07,” katanya.

Armizan ditemui selepas merasmikan Program Jualan Rahmah (PJR) Peringkat Negeri Sembilan di tapak PJR Garden Home, Seremban 2, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Armizan berkata KPDN menetapkan sasaran sebanyak 450 siri PJR Ramadan di seluruh negara meliputi kesemua 222 kawasan parlimen.

Melaluinya, orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian dengan tawaran harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Mengenai Op Kesan yang bermula pada 1 Mac lalu bagi memantau pelaksanaan kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 6 kepada 8 peratus, beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 9,749 premis di seluruh negara diperiksa.

Menurutnya, sebanyak 485 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah diserahkan kepada premis perniagaan yang terbabit.

“Notis ini dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melakukan perubahan harga,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini