Tumpuan :
Nasional

572 barangan elektronik tiruan sasar jualan TikTok dirampas

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan menunjukkan antara 572 unit barangan elektrik tiruan yang disita dalam serbuan di sebuah gudang ketika sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Pulau Pinang, Bukit Minyak. – FOTO: NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah menyerbu sebuah gudang di sini, yang dipercayai terlibat dalam penyimpanan dan penjualan barangan elektrik tiruan, pagi tadi.

Pengarahnya, S. Jegan berkata pihaknya merampas 572 unit barangan elektrik tiruan yang menggunakan cap dagangan berdaftar jenama lain.

“Operasi ini dijalankan susulan aduan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang mencurigai kewujudan aktiviti penjualan barangan tiruan di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan tersebut telah berjaya menemukan sejumlah 572 unit barangan elektrik, termasuk pengisar, pengering rambut, pelurus rambut, pencukur, berus gigi elektrik, dan pelbagai barangan lain.

“Seorang wanita berusia 40-an telah ditahan untuk membantu siasatan mengenai aktiviti penjualan barangan tiruan berkenaan yang bernilai RM27,279,” katanya dalam sidang media, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun katanya, suspek yang ditahan hanya merupakan kakitangan syarikat berkenaan, manakala pemiliknya masih dikesan.

Tambahnya, pemiliknya dipercayai mengimport barangan berkenaan dari China untuk dijual secara dalam talian menerusi aplikasi TikTok.

Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 kerana menggunakan cap dagangan secara tidak sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini