comscore
Tumpuan :
Nasional

6 ditahan cuba seludup minuman keras dari Labuan

 

FOTO:PPM

LABUAN: Enam individu ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup masuk 486 karton minuman keras dalam serbuan di tebing Sungai Kampung Paringan, Menumbok, di sini, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, semua individu berusia 18 hingga 43 tahun terbabit ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, operasi Op Kontraband itu dijalankan atas maklumat dan siasatan.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, semua enam suspek sedang melakukan aktiviti pemunggahan barang dari bot ke dalam lori di lokasi serbuan.

“Pasukan operasi terus menyerbu dan berjaya menahan enam orang lelaki dan merampas sebuah lori, bot fiber dan tiga enjin jenama Yamaha 200 kuasa kuda.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sejumlah minuman keras yang tidak bercukai dipercayai diseludup masuk dari Labuan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, semua suspek ditahan dan dibawa bersama barang rampasan ke Balai Polis Menumbok untuk urusan dokumentasi.

Katanya, antara minuman keras yang dirampas adalah 116 karton jenama Anchor Beer dan 370 karton jenama Tiger Beer.

“Semua rampasan termasuk kenderaan dan minuman keras dianggarkan bernilai RM508,969 termasuk cukai.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini