comscore
Tumpuan :
Nasional

6 kerangka penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menggubal akta baharu antara enam kerangka penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig di Malaysia demi menjaga kebajikan pekerja berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat bersama antara kementerian dan pasukan perunding dari Universiti Malaya pada 14 Mei lalu.

Kerangka lain termasuk mekanisme kilanan (grievance mechanism), struktur dan fungsi suruhanjaya serta implikasi kewangan.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim itu turut menggariskan kerangka penentuan kadar upah, perlindungan sosial dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pangkalan data bersepadu bagi pendaftaran pekerja gig dan penyedia platform.

“Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig ini membolehkan satu saluran formal diwujudkan bagi mengendalikan isu-isu pekerja dalam sektor gig seperti aduan kilanan berkaitan manipulasi platform kepada pekerja gig, penentuan kadar upah dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan Perunding dari Universiti Malaya telah dilantik pada bulan lalu.

Kenyataan itu menyatakan, Laporan Interim akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan depan manakala Laporan Akhir bakal dibentangkan pada Ogos ini.

Pada 2 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Suruhanjaya terbabit bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dengan tumpuan adalah untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini