KUALA LUMPUR: Enam pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima biasiswa berjumlah antara 60,000 hingga 80,000 Yen tajaan Shibaura Institute of Technology (SIT) dari Jepun menerusi Program TM Outbound Mobility: Inisiatif Pembelajaran Kolaboratif Global (GCLI) yang dijalankan dengan kerjasama SIT dan Institute of Technology Bandung (ITB) dari Indonesia.
Program dengan pendekatan Global Project-Based Learning (gPBL) ini memberi peluang kepada pelajar mempelajari perkembangan industri di Jepun selain memperkukuh pertukaran silang budaya.
Melalui kerja berpasukan bersama pelajar dari SIT dan ITB, mereka didedahkan dengan pelbagai perspektif dan cara menangani cabaran industri dengan lebih kreatif.
Pelajar turut terlibat dalam sesi perbincangan kumpulan serta pembentangan, yang membantu meningkatkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan di peringkat antarabangsa.
Program yang berlangsung dari 9 hingga 20 September lalu membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan teori, membina kemahiran berfikir kritis dan penyelesaian masalah.
Selain itu, melalui bimbingan daripada pensyarah dan mentor industri, pelajar dapat memahami lebih mendalam bagaimana teori akademik diterapkan dalam situasi dunia sebenar.
Bukan itu sahaja, peluang menerokai budaya Jepun dan Indonesia membolehkan pelajar memahami tentang kepelbagaian budaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.