BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang mengesan enam warga asing yang masuk ke negara ini sebagai pelancong, namun menyalahgunakan pas lawatan sosial apabila menjalankan aktiviti sebagai artis budaya dengan membuat persembahan opera.
Penahanan itu selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada orang awam berhubung terdapat sekumpulan warga asing tanpa permit sah membuat persembahan di pekarangan rumah ibadat di sini, semalam.
Pengarah Imigresen negeri, Nur Zulfa Ibrahim, berkata susulan aduan yang diterima pihaknya menjalankan operasi dan menemui enam warga asing lengkap dengan kostum mengikut watak masing-masing sedang membuat persembahan.
“Enam mereka terdiri masing-masing dua lelaki dan dua wanita Taiwan serta dua wanita Singapura berusia antara 40 hingga 60 tahun.
“Semakan ke atas pasport mendapati mereka hanya diberikan pas lawatan sosial dan tiada sebarang kebenaran yang tercatat di dalamnya.
“Berikutan itu, mereka yang terbabit disyaki telah melanggar syarat-syarat pas selaras dengan peruntukan di bawah peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963”, katanya dalam satu hantaran di Facebook JIM Pulau Pinang, hari ini.
Jelasnya lagi, berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa, mana-mana penggiat seni perlu membuat permohonan kepada Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi mendapatkan kelulusan.
“Agensi ini diwujudkan oleh kerajaan sebagai sebuah agensi setempat yang menyelaras permohonan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara.
“Siasatan lanjut kini dilakukan dan sekiranya sabit kesalahan kesemua mereka bakal dikenakan tindakan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 yang membawa kepada hukuman penjara kepada tempoh tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.