comscore
Tumpuan :
Nasional

6 PPS tempatkan 150 mangsa banjir di Perak

Mangsa banjir di Kampung Periang, Kuala Kangsar dipindahkan ke PPS SK Periang. – Foto APM

IPOH: 150 mangsa banjir daripada 52 keluarga telah ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Perak akibat banjir berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak melaporkan, setakat jam 8 pagi tadi, Larut, Matang dan Selama (LMS) merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 78 orang daripada 30 keluarga berlindung di empat PPS.

Ia membabitkan 36 orang (12 keluarga) dari Kampung Sungai Baru berlindung di Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok menempatkan 25 orang (12 keluarga) dari Kampung Temerlok dan Kampung Nibong.

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak. FOTO IHSAN BOMBA.

Sembilan mangsa (lima keluarga) dari Kampung Senduk Seberang dan Kampung Batu 8 dipindahkan ke Masjid Al-Wusta Batu 8 dan Dewan Orang Ramai Jebong Kiri pula menempatkan lapan mangsa (satu keluarga) dari Kampung Dato Sagor.

Selain itu, satu PPS turut dibuka di daerah Hilir Perak di Dewan Serbaguna Padang Tembak bagi menempatkan 42 mangsa (10 keluarga) dari Kampung Batu 9 Changkat Jong.

Di daerah Kuala Kangsar, PPS SK Periang dibuka bagi menempatkan 30 mangsa (12 keluarga) yang terkesan akibat banjir di Kampung Periang.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Kerian di Selama dan Sungai Perak di Jambatan Sultan Iskandar masing-masing berada pada paras berjaga-jaga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini