JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan sindiket pengemis jalanan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penahanan enam warga China di sekitar bandar raya ini Khamis lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, semua suspek ditahan dalam satu operasi Ops Serkap oleh Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor pada jam 4.20 petang, hasil risikan selama dua bulan.
Katanya, tindakan diambil hasil maklumat awam dan intipan terhadap kegiatan warga asing yang menjadikan sebuah apartmen di bandar raya ini sebagai tempat pertemuan untuk menyerahkan hasil kutipan mengemis.
“Modus operandi pengemis OKU menggunakan pelbagai taktik bagi meraih simpati, dengan menggunakan kekurangan dan kecacatan mereka selain ada yang berpura-pura sakit untuk mendapatkan hasil sumbangan orang ramai.
“Dalam serbuan itu mendapati sindiket didalangi oleh dua daripada wanita warga China yang menerima wang hasil mengemis daripada tiga lelaki rakan senegaranya yang berstatus OKU iaitu kudung sebelah kaki dan sebelah tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Datuk Mohd Rusdi, dua wanita tersebut dipercayai menjadi ‘up line” kepada semua lelaki OKU sebelum mengagihkan imbuhan hasil mengemis.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua pengemis mampu meraih pendapatan sebulan sebanyak RM2,400 hingga RM12,000 seorang.
“Kesemua pengemis OKU dipercayai turut menerima imbuhan sebanyak RM1,000 hingga RM1,200 sebulan.
“Mereka yang ditahan berumur lingkungan 51 tahun hingga 63 tahun. Pasukan operasi turut merampas wang tunai bernilai RM4,682 dan beberapa mata wang asing.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis serta Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana bersubahat,” katanya.
Datuk Mohd Rusdi berkata, pihaknya memandang serius isu sindiket dalam kalangan warga asing dan menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang,
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.