comscore
Tumpuan :
Nasional

60 pelajar tidak ke sekolah akibat jambatan ditenggelami air

Air sungai yang melimpah jambatan besi Kampung Batu 6, petang semalam.-Foto: NSTP.

GUA MUSANG: 60 pelajar di perkampungan Batu 6 di sini, tidak dapat ke sekolah akibat jambatan besi yang menjadi jalan utama untuk keluar dari kampung itu, sering dinaiki air susulan hujan lebat sejak seminggu lalu.

Penduduk mendakwa, sepanjang minggu ini, ada dua hari yang mana pelajar tidak dapat hadir ke sekolah apabila satu-satunya jambatan yang menjadi jalan keluar dari perkampungan itu ditenggelami air.

Menurut seorang penduduk, Muhammad Alif Nazuwaan Azian, 19, keadaan jambatan yang kerap ditenggelami air terutama pada musim tengkujuh menyebabkan dia tidak dapat keluar berkerja sehingga memberi kesan kepada pendapatannya.

Malah katanya, situasi itu menyebabkan adiknya yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gua Musang juga tidak dapat pergi ke sekolah.

“Malah, selepas air surut, penduduk terpaksa bergotong-royong membersihkan jambatan dengan membuang lumpur bagi membolehkan ia dilalui.

“Saya yang berkerja dengan gaji harian sangat terkesan apabila jambatan ini ditenggelami air kerana tidak dapat keluar bekerja dan adik saya sudah dua hari tidak ke sekolah pada minggu ini,” katanya.

Muhammad Alif Nazuwaan berkata, terdapat juga pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menggunakan laluan jambatan kereta api, untuk ke sekolah bagi menduduki peperiksaan terbabit.

 

Terdapat pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menggunakan laluan jambatan kereta api, untuk ke sekolah bagi menduduki peperiksaan terbabit. Foto: NSTP

“Apabila sudah terdesak dan tiada pilihan, kami terpaksa menggunakan laluan jambatan kereta api, tetapi ia sangat berisiko kerana jalan licin dan bimbang sekiranya berselisih dengan kereta api,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim berkata, pihaknya mendapat makluman daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang sudah bersetuju untuk membina jambatan baharu bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk.

“Alhamdulillah jawapan terakhir yang saya dapat melalui KKDW ialah kerajaan dalam proses untuk buat perolehan dan difahamkan proses tender akan dibuat dalam bulan Januari ini.

“Sekarang ini sudah Januari dan saya memohon pihak kementerian supaya menyegerakan pembinaan jambatan baharu kerana jambatan sementara dikategorikan sangat kritikal kerana boleh mengancam keselamatan terutamanya anak yang masih bersekolah,” katanya.

Loading...
Terkini