comscore
Tumpuan :
Nasional

60 warga asing, termasuk ‘Call Girl’ ditahan

FOTO: JIM

JOHOR BAHRU: 60 warga asing dan tiga warga tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Baharuddin Tahir berkata, dalam serbuan itu seramai 93 individu diperiksa.

Katanya, semua yang ditahan berumur antara 19 tahun hingga 49 tahun, dengan warga asing terbabit adalah pekerja pusat hiburan itu dan ada yang disyaki berkhidmat sebagai ‘Call Girl’.

“Wanita ini ditugaskan untuk menemani pelanggan dengan minum bersama-sama dengan mereka.

“Setiap minuman keras yang dipesan bersama tempahan bilik akan diberi komisen atau tip bernilai RM20.

FOTO: JIM

“Selain itu, seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang ditahan, disyaki penjaga premis dan penyelia aktiviti tidak bermoral ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya pemeriksaan lanjut mendapati warga asing berkenaan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pas Isteri kepada Warganegara, selain ada yang tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 48 wanita dan dua lelaki warga Vietnam; tiga wanita warga Thailand; masing-masing seorang wanita dan lelaki warga Indonesia; dua wanita China dan tiga lelaki Nepal,” katanya.

Jelasnya, warga asing disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa selain Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (melanggar syarat pas).

“Tiga warga tempatan pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta 155 kerana melindungi warga asing. Tahanan warga asing dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini