comscore
Tumpuan :
Nasional

6,000 hotspot banjir seluruh negara telah dikenalpasti menjelang Monsun Timur Laut – APM

Foto hiasan

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kira-kira 6,000 hotspot banjir di seluruh negara menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini hingga Mac depan telah dikenalpasti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Ibu Pejabat APM Dr Mohammad Fazli Sardi berkata APM bersama agensi lain akan memberi tumpuan di kawasan berkenaan khususnya dalam usaha memberi kesedaran kepada komuniti mengenai bencana banjir.

“Kali ini kita tumpukan untuk beri kesedaran kepada komuniti agar impak banjir dapat diminimumkan. Kita tahu banjir akan tetap berlaku, namun apa yang kita mahu terapkan ialah bagaimana kita berhadapan dengan bencana itu agar impak tidak teruk.

Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Ibu Pejabat APM, Dr. Mohammad Fazli Sardi bersama Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor pada Majlis Pentauliahan Kor Siswa Pertahanan Awam (SISPA) ke-9 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah.

“Sebelum ini kurangnya kesedaran komuniti menyebabkan impak banjir itu besar kerana mangsa tiada persediaan awal kita tidak mau perkara ini berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Kor Siswa Pertahanan Awam (SISPA) ke-9 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Menurutnya sebagai Sekretariat Bencana Alam negara, pihaknya telah bersiap sedia dari segi kelengkapan dan anggota untuk menghadapi MTL.

Bercakap mengenai majlis berkenaan, beliau berkata seramai 139 pegawai muda terdiri daripada pelajar UMS telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda (PA) setelah menamatkan latihan selama tiga tahun di UMS.

APM, Kementerian Pengajian Tinggi, dan institusi pengajian tinggi ujarnya telah berjaya membentuk satu program tahunan yang bertujuan memupuk semangat intergrasi yang melangkaui batas umur, bangsa dan agama.

“Pegawai yang ditauliah pada hari ini dapat mencetuskan gema kesukarelawanan kepada seluruh mahasiswa di universiti masing-masing dan menabur bakti sebagai pegawai pasukan APM di seluruh negeri kelak,” katanya.

Loading...
Terkini