comscore
Tumpuan :
Nasional

60,000 penduduk Selangor jalani saringan kesihatan mental

FOTO: Dr Siti Mariah / Facebook

SHAH ALAM: Kira-kira 60,000 rakyat di Selangor direkodkan menjalani saringan awal kesihatan mental menerusi Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) sejak mula dilancarkan 30 Ogos tahun lalu sehingga bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri mendapati kadar prevalens stres dalam kalangan rakyat Selangor tahun ini sebanyak 9.9 peratus berdasarkan hasil saringan berkenaan.

Menurut beliau, kebanyakkan daripada mereka berumur 21 hingga 40 tahun.

“Kebanyakan mereka berumur di antara 21 hingga 40 tahun, tinggal di kawasan bandar besar. Faktor kewangan memberikan kesan sangat besar kepada kesihatan mental, menjadikan golongan B40 dan berpendapatan rendah sebagai golongan rentan yang terdedah kepada gangguan kesihatan mental.

“Melalui talian sokongan psikososial SEHAT yang disediakan sejak Mei lalu pula, kita menerima sebanyak 312 panggilan yang terdiri daripada rakyat negeri ini dan luar negeri.

“Kategori panggilan yang diterima membabitkan isu perhubungan kekeluargaan, masalah psikososial, kewangan dan kerjaya.

“Isu utama bagi individu yang menghadapi gangguan kesihatan mental adalah stigma keluarga dan orang sekeliling serta kesukaran mendapatkan rawatan disebabkan tempoh temujanji lama di hospital kerajaan dan kos tinggi di fasiliti swasta,” katanya.

FOTO: Dr Siti Mariah / Facebook

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Pelancaran Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri Sehat Selangor di Foyer SUK, di sini petang tadi.

Justeru itu katanya, bagi mempercepatkan akses kepada rawatan berkenaan, Selangor melancarkan insentif subsidi rawatan pakar psikiatri dengan menawarkan 700 slot iaitu rawatan subsidi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM222,600.

“Menerusi kolaborasi bersama Klinik Selcare dan Persatuan Psikiatri Malaysia (Malaysian Psychiatric Association MPA), kerajaan negeri akan menanggung kos saringan, caj konsultasi bersama pakar psikiatri, rawatan psikoterapi asas dan rawatan ubatan bagi dua minggu pertama.

“Rakyat negeri Selangor yang ingin mendapatkan insentif subsidi kesihatan mental perlu melengkapkan saringan awal di aplikasi Selangkah.

“Berdasarkan kelayakan ujian saringan awal, pemohon boleh menetapkan pilihan klinik Selcare di aplikasi Selangkah bagi menjalani saringan kedua. Pemohon layak akan dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani intervensi lanjut daripada pakar psikiatri,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap agar insentif subsidi rawatan psikiatri ini dapat melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah kesihatan mental.

“Selain itu, mengurangkan beban klinik psikiatri di hospital kerajaan serta memberikan akses alternatif yang lebih cepat kepada rakyat negeri Selangor yang memerlukan intervensi terutama bagi golongan B40,” katanya.

Katanya, mereka yang memerlukan khidmat nasihat boleh hubungi kaunselor SEHAT di talian Hotline
1700-82-7536 atau Hotline 2: 1700-82-7537 atau di aplikasi SELangkah.

Loading...
Terkini