comscore
Tumpuan :
Nasional

602 PATI ditahan di Shah Alam atas pelbagai kesalahan


Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

SHAH ALAM: Seramai 1,091 warga asing diperiksa dalam operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) bersepadu di Seksyen 25 di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 602 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan sebelum dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, operasi itu dibuat susulan daripada laporan yang diterima sebelum ini.

“Sebagaimana kita dapat maklumat-maklumat dan juga hasil dapatan dan siasatan terhadap lambakan serta kehadiran warga asing yang dikhuatiri dan berpotensi melanggar kesalahan-kesalahan terutama di bawah Akta Imigresen dan kesalahan-kesalahan lain.

“Kesemua tahanan hari ini ada lebih kurang daripada yang berumur 19 tahun sampailah 53 tahun yang terdiri daripada 505 lelaki dan 97 orang perempuan.

“Kesemua ini akan ditahan buat sementara di Depoh Imigresen Semenyih untuk verifikasi kali kedua dan seterusnya menunggu tindakan tindakan selanjutnya,” katanya selepas meninjau operasi hari ini

Daripada angka itu 214 individu merupakan warga Bangladesh, Nepal (115), Myanmar (86), Indonesia (81), India (60), Pakistan (34), Sri Lanka (10), Algeria (1) dan Filipina (1).

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan kesalahan-kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini