comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 61 laman web, 80 akaun media sosial tipu pelaburan disekat

 

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Sekuriti (SC) menambah 84 entiti dalam senarai amaran pelaburnya serta menyekat 61 laman web yang disyaki melakukan penipuan pelaburan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, SC turut menyekat 80 akaun media sosial dengan modus operandi yang lazim digunakan ‘scammers’ terbabit ialah mempromosikan skim pelaburan palsu melalui WhatsApp dan Telegram.

“Tahun lalu SC telah menyenaraikan 267 nama dalam senarai amaran pelabur selain turut menyekat 166 laman web dan 224 akaun media sosial yang disyaki menjalankan kegiatan terbabit dan bagi saya ini adalah tahap membimbangkan.

“Jadi adalah penting untuk kita selidik sebelum melabur sama ada syarikat atau individu yang membuat tawaran pelaburan berdaftar dengan badan kawal selia seperti SC,” katanya ketika ditemui dalam Program InvestSmart@Penang di sini, hari ini.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

Awang berkata, antara ciri-ciri biasa ‘scammers’ ialah menjanjikan pulangan pelaburan tinggi dalam masa singkat serta mempromosinya sebagai peluang terhad dan meminta wang dimasukkan ke dalam akaun individu tidak dikenali atau akaun bank yang tidak berkaitan.

Tambahnya, negara menyaksikan peningkatan ketara penipuan dalam talian dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dengan daripada 548 aduan pada 2020 meningkat kepada 1,124 aduan pada 2022 dengan kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Beliau berkata tahun lalu aduan berkaitan penipuan merangkumi hampir 60 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima SC dengan pihaknya turut bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk membendung masalah itu.

“Memandangkan keadaan ekonomi semakin mencabar kedudukan kewangan kian mendesak orang ramai mudah terpedaya dengan janji palsu seperti ‘love scams’, skim piramid dan peluang pekerjaan online dengan upah tinggi,” katanya.

Loading...
Terkini