comscore
Tumpuan :
Nasional

62 jenis produk kesihatan tak daftar bernilai RM1 juta dirampas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: 62 jenis produk kesihatan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan (KKM) dengan nilai mencecah RM1 juta dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

JKNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNS (CPFJKNS) pada 9 Mei lalu berikutan aduan orang awam.

Menurut JKNS, siasatan awal mendapati penjualan produk tersebut dijalankan sebuah syarikat asing yang beroperasi di luar negara.

“Modus operandi yang digunakan syarikat asing berkenaan melibatkan syarikat pengendali hab logistik tempatan yang dijadikan lokasi simpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar miliknya kepada pengguna di Malaysia.”

“Syarikat berkenaan menggunakan platform e-dagang sebagai medium penjualan produk kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Jelas JKNS, penjualan produk tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000.

Mengulas lanjut, JKNS menasihatkan syarikat pengendali hab logistik tempatan dan orang awam supaya memastikan produk kesihatan mempunyai pelekat keselamatan Hologram serta nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk terbabit.

Status pendaftaran produk boleh disemak di laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status”; menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400 atau aplikasi NPRA Product Status.

Selain itu, orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat sebagai usaha bersama untuk membanteras penjualan ubat-ubatan dan produk kesihatan yang meragukan serta tidak dibenarkan.

Ia boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Aduan juga boleh dibuat di mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini