comscore
Tumpuan :
Nasional

 62,928 murid Tahun 1 belum menguasai literasi, numerasi

Oleh: Shuhadah Marzuki

PUTRAJAYA: Seramai 122,062 murid tahun satu mengikuti Program Intervensi Kurikulum Kementerian Pendidikan, (KPM), sejak Ogos 2024 bertujuan menangani keciciran pembelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Haji Adnan berkata, pengesanan awal literasi dan numerasi murid tahun satu itu dilaksanakan tiga bulan selepas mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

Melalui Program Intervensi Kurikulum itu KPM mengesan seramai 62,928 murid tahun satu belum menguasai literasi dan numerasi pada tahap minimum.

“Bagi murid tahun 1 yang belum menguasai kedua-dua literasi jumlahnya 62,928. Bagi murid tahun 1 yang belum menguasai literasi sahaja, ialah sebanyak 45, 465 dan murid tahun 1 yang belum menguasai aspek numerasi berjumlah 13,669.”

Azman menjelaskan murid yang disaring kemudian diberikan intervensi penguasaan Bahasa Melayu dan Matematik selama tiga bulan sebelum mengikuti saringan fasa 2.

Murid terbabit akan ditempatkan kembali ke kelas arus perdana selepas berjaya menguasai tahap penguasaan minimum.

Namun, sekiranya tahap literasi dan numerasi di bawah tahap minimum, murid terbabit perlu meneruskan program intervensi fasa 2 .

Jelas Azman lagi, kepadatan kurikulum murid-murid terbabit turut dikurangkan untuk memastikan tumpuan diberikan kepada penguasaan literasi dan numerasi.

KPM juga akan mempertimbangkan langkah seterusnya selepas keputusan saringan program intervensi kedua kelak.

KPM juga tidak mempunyai dasar untuk menyekat murid daripada menaiki darjah seterusnya.

Mac lalu, KPM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara.

Ia termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.

Program intervensi adalah inisiatif kedua dalam reformasi pendidikan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini