comscore
Tumpuan :
Nasional

63,000 merayu PerantiSiswa

Teo Nie Ching bergambar bersama pelajar yang menerima peranti pada Majlis Penyampaian Perantisiswa di Dewan Sri Putra Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor. – FOTO: NSTP

KULAI: Sebanyak 63,000 permohonan rayuan diterima bagi mendapatkan peranti di bawah Program PerantiSiswa, selepas tempoh berakhir 31 Disember lalu.

Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, 25,000 rayuan telah diluluskan, manakala baki 38,000 lagi sedang diteliti oleh institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

“Mereka (IPT) yang akan mengesahkan sama ada pemohon yang merayu itu datang daripada keluarga B40.

“Jadi KKD sebagai badan peneraju, yang mana kita akan buat pengagihan. Sama ada permohonan diluluskan atau tidak, kita perlu tunggu pengesahan daripada IPT.

“Secara keseluruhannya sebanyak 301,737 unit tablet iaitu 83 peratus daripada 362,016 permohonan yang diluluskan telah pun diedar sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan PerantiSiswa kepada pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdullah Rahman Putra di sini, hari ini.

Teo berkata, untuk Johor, 29,461 permohonan PerantiSiswa diluluskan dengan 23,435 unit sudah diedarkan.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 13 laporan penjualan semula peranti itu diterima setakat November lalu dan berharap tiada lagi kes berkaitan dilakukan mahasiswa.

“Peranti ini diberikan kepada mereka yang layak terutama golongan B40, sekiranya mereka sudah mempunyai Tablet, tidak perlulah mereka memohon dan kemudian menjualnya.

“Program pemberian PerantiSiswa ini untuk membantu mereka yang tidak mampu,” katanya yang turut memaklumkan keputusan sama ada program ini diteruskan atau tidak pada masa depan akan diketahui dalam pembentangan Belanjawan 2023, bulan depan

Loading...
Terkini