comscore
Tumpuan :
Nasional

65 murid alami keracunan selepas makan kuetiau sup di kantin sekolah

Murid yang mengalami keracunan makanan di SK Bandar Puteri Jaya menjalani rawatan di sekolah berkenaan. – FOTO: Ihsan pembaca

SUNGAI PETANI: Kira-kira 65 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya di sini, terpaksa menerima rawatan selepas disyaki keracunan makanan di kantin sekolah itu, hari ini.

Difahamkan, semua murid Tahun Empat, Lima dan Enam itu dikatakan mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit selepas makan kuetiau sup yang dibeli di kantin sekolah berkenaan pada waktu rehat.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zubir Othman, berkata pihak sekolah menghubungi talian kecemasan selepas ramai murid mula sakit perut dan cirit-birit sekitar jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, pihak sekolah juga mengambil langkah segera dengan membawa semua murid yang mengalami gejala sakit perut dan cirit-birit mendapatkan rawatan awal.

“Semua murid terbabit ditempatkan di dalam bilik darjah dan dirawat oleh kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

“Tujuh murid kemudian dihantar untuk rawatan lanjut di Zon Kuning HSAH dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya hari ini.

Zubir berkata, kantin sekolah itu diarah tutup sementara selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Katanya, sekolah itu mempunyai dua sesi dengan murid tahun Empat, Lima dan Enam pada sesi pagi, manakala murid Tahun Satu, Dua dan Tiga sesi petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini