comscore
Tumpuan :
Nasional

66 subjek catat peningkatan termasuk Fizik, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia

PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menyaksikan peningkatan prestasi 66 daripada keseluruhan 95 mata pelajaran ditawarkan, manakala 25 lagi menurun dan empat pula tidak berubah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memaklumkan bagi mata pelajaran teras, Bahasa Melayu mencatat prestasi terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.86 mata, di samping Pendidikan Moral mempamerkan peningkatan prestasi tertinggi 0.20 mata.

Seterusnya, beliau berkata, sebanyak 50 daripada 70 mata pelajaran elektif menunjukkan peningkatan prestasi, 19 menurun dan satu kekal seperti keputusan SPM 2022.

“Kesemua empat mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi kategori Sains Tulen dan Matematik membabitkan subjek Fizik, Matematik Tambahan, Biologi serta Kimia menunjukkan peningkatan.

“Fizik mencatat peningkatan prestasi tertinggi, iaitu 0.22 mata, dan turut menjadi mata pelajaran yang merekodkan prestasi terbaik dalam kumpulan mata pelajaran itu dengan GPMP 4.15 mata,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM), di sini, hari ini.

Terdahulu, Azman mengumumkan seramai 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Beliau berkata, pencapaian calon SPM pada 2023 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini