Tumpuan :
Nasional

6,646 polis kena tindakan tatatertib sejak tahun 2020

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan. Foto NSTP

KUANTAN: Seramai 6,646 pegawai kanan dan pegawai rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sejak 2020 hingga 30 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, 613 individu dikenakan tindakan buang kerja dan 120 individu pula diturunkan pangkat.

Katanya, 641 pegawai kanan dan rendah pula dilucut hak emolument, 68 orang diturunkan gaji, 152 ditangguh pergerakan gaji dan lain-lain membabitkan 5,052 individu.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah integriti, jenayah, rasuah, dadah dan syariah,” katanya ketika ceramah Pembudayaan Integriti Dalam Kalangan Penjawat Awam pada Majlis Sambutan Hari Integriti 2024 peringkat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.

Ketika ditemui selepas majlis, Ayob Khan berkata, tindakan salah laku, tatakelola dan rasuah bukan sahaja dalam kalangan anggota, malah pegawai atasan malah tanpa tindakan tegas, masyarakat akan hilang kepercayaan dan rasa hormat kepada PDRM.

“Oleh itu kita mengambil tindakan jangan mengira pangkat dan tidak kira kedudukan sebagai apa pun, pegawai atau anggota, kalau terlibat dan kes serius, serah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jangan campur tangan.

“Kalau SPRM tidak cukup bukti tetapi kita cukup bukti, kita buka untuk siasatan jenayah. Jangan utamakan tindakan tatatertib dalaman dahulu… kalau kuat serah kepada SPRM, baru ada impak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini