comscore
Tumpuan :
Nasional

67 kes godam telefon menerusi fail APK direkodkan sehingga Mei, kerugian lebih RM1.1 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR: Tidak sampai setengah tahun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merekodkan 67 kes penggodaman telefon pintar bagi tujuan mencuri data melalui fail APK yang membabitkan kerugian lebih RM1.1 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia jumlah kertas siasatan yang dibuka pihaknya bermula dari Januari sehingga Mei lalu.

“Selangor dan Pulau Pinang mencatatkan kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Bukan hanya menghantar fail APK melalui mesej jemputan perkahwinan, sindiket turut menggunakan taktik tawaran pekerjaan, ejen pembersihan dan pembantu rumah, jual beli kenderaan serta jual beli barang kemas,” katanya ketika dihubungi.

Pada tahun lalu, Ramli berkata, JSJK merekodkan 676 kes membabitkan kerugian lebih RM18.6 juta.

Kata beliau, kes tertinggi yang dilaporkan pada tahun itu adalah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Terdahulu, PDRM menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan penyebaran mesej jemputan perkahwinan menerusi fail APK yang akan menyebabkan telefon pintar digodam.

Ramli dilaporkan berkata, penjenayah dikesan menggunakan taktik itu sebagai modus operandi penggodaman telefon pintar untuk tujuan mencuri data dan mengakses maklumat kewangan.

Antara taktik yang dikesan masih aktif digunakan sejak pertengahan tahun lalu ialah penyebaran kad jemputan kahwin digital melalui fail APK yang bersamanya ditanam perisian hasad atau Malware.

Katanya, hasil siasatan mendapati mesej jemputan perkahwinan berkenaan dihantar oleh penjenayah yang menyamar sebagai kenalan mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini