comscore
Tumpuan :
Nasional

67 peratus bersetuju pelaksanaan semula PLKN

Kajian mendapati 67 peratus bersetuju dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0. – Foto fail NSTP

KUALA KUMPUR: Satu kajian oleh Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) mendapati 67 peratus rakyat negara ini bersetuju dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Ia berdasarkan tinjauan awam terhadap 2,633 responden, majoriti (sekurang-kurangnya 50 peratus) daripada semua demografi yang dianalisis termasuk bangsa, jantina, umur dan wilayah bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN.

Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee berkata kajian itu mendapati dua pertiga daripada responden bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN dan hanya satu daripada sepuluh atau 11 peratus yang tidak bersetuju.

Tinjauan dijalankan dari 24 hingga 30 Januari lalu.

Katanya, 74 peratus responden beranggapan bahawa PLKN akan memberi kesan sangat positif atau positif kepada masyarakat, di mana hanya minoriti (4 peratus) berpendapat PLKN memberi kesan negatif atau sangat negatif kepada masyarakat.

Menurut tinjauan ini juga, generasi milenial (25-39 tahun) yang merupakan generasi yang pernah mengalami dan mengikuti PLKN mempunyai pendapat positif tertinggi mengenai PLKN iaitu sebanyak 78 peratus yang menilai program itu mempunyai kesan yang sangat positif atau positif kepada masyarakat.

“Apabila diminta untuk membandingkan keutamaan PLKN yang berbeza, perpaduan negara paling tinggi dinilai sebagai keutamaan oleh responden iaitu 58 peratus, diikuti dengan pembangunan belia dan patriotisme (56 peratus) dan persediaan ketenteraan (41 peratus),” katanya.

Tambahnya, responden Melayu meletakkan patriotisme paling tinggi, manakala responden Cina, India dan Bumiputera lain meletakkan perpaduan negara paling tinggi.

Selain itu katanya, antara isu pelaksanaan PLKN, responden paling risau dengan gangguan seksual terhadap peserta dengan sebanyak 52 peratus menjawab sangat merisaukan, diikuti dengan buli terhadap peserta (49 peratus menjawab sangat merisaukan) dan kandungan berunsur berat sebelah politik (41 peratus menjawab sangat merisaukan).

“Kurang daripada satu pertiga daripada responden merasakan bahawa isu kos mahal untuk dijalankan (27 peratus) dan membuang masa (22 peratus) sangat merisaukan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini