comscore
Tumpuan :
Nasional

69,000 pengguna Daerah Barat Daya Pulau Pinang alami gangguan bekalan air

GEORGETOWN: Perkhidmatan bekalan air untuk kira-kira 69,000 pengguna di Daerah Barat Daya (DBD) dekat sini terjejas berikutan masalah bekalan elektrik di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan, berkata warga PBAPP beroperasi di bawah protokol pelan respons kecemasan (ERP) untuk memulihkan sepenuhnya bekalan air menjelang 5 petang tadi.

“Pada 4 pagi tadi, kegagalan sebuah “11kV Medium Voltage Drive” menyebabkan Rumah Pam Bukit Dumbar 2 terhenti tiba-tiba sehingga menghalang PBAPP mengepam air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kepada pengguna di DBD di kawasan dari Gelugor ke Bukit Penara di Balik Pulau.

“Sekitar 6.30 pagi, selepas sistem elektrik pulih PBAPP memulakan semula Rumah Pam Bukit Dumbar 2 dan sejak itu, pasukan kami telah menjalankan kerja-kerja menyahudara di semua saluran paip utama DBD untuk menyelesaikan isu ‘kunci udara’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hingga jam 1 tengah hari tadi bekalan air untuk kira-kira 40,000 pengguna atau 58 peratus pengguna terjejas telah pulih, manakala selebihnya menjelang 5 petang tadi.

Sebanyak 26 kawasan yang terjejas antaranya Bayan Baru, Jalan Pondok Upeh, Bayan Lepas, Jalan Teluk Kumbar, Batu Itam Bukit Belah, Jalan Tun Dr. Awang, Bukit Gambir, Jalan Sungai Tiram, Bukit Gelugor, Jalan Yeap Chor Ee19, Kampung Matahari Naik, Bukit Jambul dan kawasan Lip Sin, Bukit Penara.

Pengguna yang masih mengalami masalah bekalan selepas 5 petang hari ini diminta menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP di talian 04-2558255 untuk nasihat serta bantuan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini