KUALA LUMPUR: Tujuh filem berjaya meraih tempat dalam kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33. Kesemua filem ini memenuhi kriteria yang dicari oleh barisan juri.
Filem-filem tersebut adalah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie, dan Hungry Ghost Diner.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata persaingan dalam kategori itu sangat sengit, dengan setiap filem memiliki kekuatan tersendiri. Walaupun hanya lima filem sepatutnya dipilih, juri memutuskan untuk memilih tujuh filem berikutan peningkatan saingan tahun ini.
“Melihat senarai filem ini, kami nampak peningkatan dalam kualiti. Beberapa filem telah memenangi anugerah di festival antarabangsa dan mendapat kutipan pecah panggung. Terdapat juga filem dalam bahasa Cina dan pelbagai genre seperti aksi, drama, dan sains fiksyen,” katanya.
Azmir juga menjelaskan bahawa proses penjurian pada tahun ini agak mencabar kerana lebih 100 filem dicalonkan, berkemugkinan disebabkan oleh ketiadaan FFM selama dua tahun.
Mengenai kualiti tujuh filem terpilih, Azmir berkata kesemua filem tersebut layak berada dalam kategori Filem Terbaik.
“Setiap filem mempunyai kekuatan tersendiri, seperti Imaginur, Rain Town, dan Sheriff, yang pembikinannya bagus dan mendapat kutipan pecah panggung,” tambahnya.
Azmir juga mengakui bahawa juri akan menghadapi cabaran dalam memilih pemenang, memandangkan saingan sengit, terutama filem Abang Adik yang menerima 11 pencalonan dan Imaginur dengan 15 pencalonan.
Mengenai ketelusan penjurian, Azmir yakin bahawa barisan juri menilai dari pelbagai sudut dan menonton filem bertanding berulang kali.
“Kami ingin menekankan bahawa FFM bertujuan untuk menghasilkan panel juri profesional. FINAS juga akan memberi peluang kepada juri Malaysia untuk menimba pengalaman di peringkat antarabangsa,” katanya.
Malam kemuncak FFM 33 akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Sabtu ini, jam 8.30 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.