MELAKA: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJD) Melaka Tengah dan BSJD Jasin menangkap enam lelaki dan seorang wanita disyaki menyamun serta mencederakan sepasang suami isteri di Kampung Bukit Larang, Pernu, dekat sini, minggu lalu.
Semua suspek ditahan di sebuah inap desa di Merlimau pada 26 dan 27 September lalu bersama barangan milik mangsa serta parang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan hasil siasatan ekoran aduan dibuat anak perempuan mangsa berusia 19 tahun mengenai kejadian berlaku pada 26 September lalu, kira-kira jam 2.30 pagi.
Menurutnya, berdasarkan laporan pengadu mendakwa sebelum kejadian dia terdengar suara lelaki memberi salam, namun tidak membuka pintu.
“Kemudian tiga lelaki menerpa masuk selepas memecahkan pintu kayu dan terus ke bilik ayah dan ibu pengadu.
“Pengadu mengenali seorang daripada suspek adalah rakan bapanya yang bertindak memukul ayah pengadu di dahi menggunakan kayu cota serta merampas dompetnya.
“Lelaki itu terus memukul pipi kiri dan belakang badan ayah pengadu yang berlari ke ruang tamu dan ibunya yang cuba menghalng cedera di tangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Christopher berkata, seorang daripada suspek yang bersenjatakan parang kemudian menyerbu ke bilik pengadu dan suami serta mengarahkan mereka keluar.
“Suami pengadu turut diacu parang di perut dan leher sebelum suspek menggeledah bilik dan mengambil jam tangan serta dompet.
“Suspek mengumpulkan semua mangsa di ruang tamu dan mengarahkan mereka menyerahkan telefon bimbit sebelum beredar kira-kira jam 4.20 pagi.
“Bapa mangsa cedera di dahi dan pipi kiri serta luka koyak di belakang badan manakala ibunya mengalami bengkak pada tangan kanan,” katanya.
Beliau berkata, sebelum beredar suspek memulangkan semula telefon bimbit suami dan ibu pengadu serta memberitahu mereka mencari individu bernama ‘Black’ berkait satu kes rogol ketika disoal mangsa.
Menurut Christopher, hasil siasatan sepasukan polis Bahagian D9 (Siasatan Khas) berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita menerusi serbuan pertama di inap desa berkenaan pada hari kejadian kira-kira jam 10 malam dan merampas sebuah telefon bimbit Iphone XS Max, manakala suspek ketujuh ditahan keesokkan harinya jam 12.30 tengah malam.
“Hasil ujian saringan air kencing, semua suspek berusia 25 hingga 37 tahun didapati positif syabu dan turut memiliki dua hingga lapan rekod jenayah.
“Menerusi serbuan kedua, kita turut merampas sebuah kereta Proton X50, tiga bilah parang, kad pengenalan serta lesen memandu atas nama seorang individu,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa