
SHAH ALAM: Tujuh penjawat awam di Selangor yang ditahan bagi membantu siasatan kes pindah milik tanah secara tidak sah disahkan sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Datuk Dr Yusri Zakariah.
“Kesemua tujuh kakitangan berkenaan adalah kakitangan PTD Klang dan mereka sudah dipindahkan ke jabatan lain.
“Mereka diletakkan di jabatan yang tidak membabitkan kerja tanah sementara menunggu siasatan penuh dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika diminta mengulas berkaitan kakitangan PTGS didakwa terbabit dalam kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
Terdahulu, Yusri merasmikan jentera ‘low loader’ bersama kawad bulanan penguatkuasaan dan pentadbiran tanah Selangor di Dataran SUK, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga membuat siasatan dalaman berhubung kejadian itu dan ia dipercayai berlaku ketika proses penukaran sistem lama ke sistem baharu (sistem e-tanah).
Katanya, PTGS juga bekerjasama kepada polis dengan memberi keterangan, bukti dan sebagainya kepada pihak berkuasa berkenaan.
Dalam pada itu, Yusri turut menasihatkan pemilik tanah untuk sentiasa menyemak hak milik serta cukai tanah untuk memastikan ia dibayar serta nama pada geran adalah pemilik sebenar.
“Buat semakan sekurang-kurangnya setahun sekali dengan membuat carian persendirian. Pastikan nama di geran itu nama kita,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.