comscore
Tumpuan :
Nasional

7 sekeluarga hilang rumah, kenderaan dalam kebakaran pagi raya

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Pagi Hari Raya Aidiladha bertukar tragedi buat tujuh sekeluarga apabila rumah dan tiga kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Taman Desa Penaga, Jelutong, di sini, pagi tadi.

Kesemua mangsa sempat menyelamatkan diri dari rumah sedang terbakar selepas api mula merebak dari tingkat atas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.02 pagi.

Jentera pertama tiba di lokasi di Taman Desa Penaga tujuh minit kemudian.

Kebakaran membabitkan sebuah rumah kelas B dan api dapat dikawal pada jam 10.12 pagi.

Rumah berkenaan musnah hampir sepenuhnya, manakala dua kereta dan sebuah motosikal turut terbakar.

“Anggota bomba berjaya lawan kebakaran daripada merebak kerana kedudukan antara rumah begitu hampir.

“Kami juga mengalami kesukaran kerana terpaksa mendapatkan sumber air dari pili bomba berjauhan dan tekanan air juga tidak tinggi.

“Bagaimanapun anggota berjaya mengawal api dan elak daripada kebakaran merebak ke rumah bersebelahan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, menurut ketua keluarga, Rashid Ismail, 53, kebakaran tercetus ketika keluarganya sedang menyiapkan juadah raya selepas pulang dari masjid.

“Kami sedang menyediakan jamuan raya di tingkat bawah, tiba-tiba ada asap di tingkat atas, saya berlari ke atas terlihat api mula bakar bilik hujung.

“Saya cuba padam kebakaran guna tuala basah tapi api dah sebesar kereta, semua pakaiaan sudah mula terbakar.

“Saya berlari ke bawah cuba padam api di bawah tapi saya tak boleh buat apa-apa.

“Kemudian sempat bawa emak, isteri, adik dan anak-anak saya keluar pastikan semua selamat.

“Selepas itu saya masuk kembali cari kunci kereta nak selamatkan kereta cuba capai kunci tapi api dah terlalu besar, terlecur sikit tangan dan muka,” katanya di lokasi.

Adik wanita mangsa berusia 34 tahun turut mengalami tekanan darah tinggi akibat kejutan.

Mereka diberi rawatan di lokasi oleh pasukan perubatan.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini