comscore
Tumpuan :
Nasional

7 sekolah agama di Johor tangguh peperiksaan akhir tahun

FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Sekurang-kurangnya tujuh buah Sekolah Agama (SA) di sini terpaksa menangguhkan peperiksaan penggal kedua bagi darjah empat dan lima susulan kejadian bencana banjir yang semakin memburuk, ketika ini.

Antaranya SA Taman Sri Saujana, SA Bandar dan SA Ladang Nam Heng.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata turut terlibat dalam penangguhan peperiksaan itu ialah Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi, SA Rantau Panjang, SA Teluk Mahkota dan SA Taman Kota Jaya.

“Bagi SA Taman Sri Saujana, penangguhan dibuat kerana ramai guru-guru terlibat banjir yang tidak dapat melepasi untuk hadir ke sekolah.

“SA Bandar dan SA Ladang Nam Heng ditutup kerana terlibat banjir, manakala empat lagi sekolah berkenaan kerana dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

“Kita menjangkakan terdapat lagi beberapa buah SA yang akan ditutup berikutan keadaan air banjir yang meningkat ketika ini,”katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Mohd Fared, mana-mana SA yang terjejas akibat banjir atau pun menjadi PPS, dibenarkan untuk beri cuti dan tangguh peperiksaan.

Keadaan banjir di Johor dilaporkan terus memburuk selepas hujan lebat sejak malam tadi dan berterusan hingga lewat petang tadi.

Setakat jam 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat secara mendadak kepada 3,322 orang membabitkan 1,007 keluarga, berbanding 1,429 orang daripada 405 keluarga, jam 6 petang tadi.

Loading...
Terkini