Tumpuan :
Nasional

70 ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

MANJUNG: Polis menahan 70 individu termasuk warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa 2, Sitiawan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, serbuan bermula jam 3 pagi itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

“Pemeriksaan awal saringan air kencing mendapati, seramai 54 individu terdiri daripada 38 lelaki dan 16 perempuan positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah itu, 13 lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga Vietnam ditahan bersama rampasan dadah jenis cannabis, pil erimin 5, ketamine dan pil ecstasy.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasbullah berkata, susulan penahanan lelaki warga tempatan itu, pihak polis membuat serbuan di sebuah lagi premis berhampiran pusat hiburan terbabit dan berjaya merampas beg silang mengandungi 31 paket plastik berisi dadah jenis MDMA anggaran berat 545 gram dan lima biji pil erimin 5 anggaran berat 1.3 gram.

“Jumlah rampasan dadah keseluruhan dianggarkan bernilai RM91,125 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut menyita kereta Honda Civic dan anggaran nilai sitaan RM40,000.

“Kesemua tangkapan direman selama tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini