comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 70 pusat hiburan digempur serentak, 4,568 individu diperiksa

 

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur 70 buah pusat hiburan di seluruh negara serentak awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata seramai 4,568 individu diperiksa dan hasilnya 478 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan.

Tambah beliau, Op Noda Khas itu dijalankan serentak mulai jam 1 hingga 6 pagi tadi membabitkan kekuatan keanggotaan seramai 1,783 orang pegawai dan anggota.

Pasukan dari Bukit Aman melakukan 4 serbuan, Johor (15), Selangor (12), Kuala Lumpur (9), Pulau Pinang (7), Pahang (8), masing-masing tiga di Melaka, Sabah dan Sarawak.

Manakala dua serbuan dilakukan di Kedah, Perak, dan Negeri Sembilan serta satu di Perlis.

Hasil serbuan seramai 104 warga tempatan termasuk 17 wanita ditahan.

Tangkapan warga asing pula membabitkan 103 lelaki dan 270 wanita dari pelbagai negara.

Antara kesalahan dikesan termasuk premis beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah, menggaji GRO warga asing, positif dadah serta tiada dokumen perjalanan yang sah.

Pasukan serbuan turut merampas wang tunai berjumlah RM20,912, peralatan audio serta minuman keras.

Pemeriksaan mendapati 51 pusat hiburan beroperasi tanpa lesen, 11 kesalahan dibawah Kanun Keseksaan dan 158 kesalahan lain termasuk mengikut Akta Imigresen, Akta Kastam dan Akta Pertubuhan.

Tegas Fadil Marsus, Op Noda Khas yang dijalankan ini memberikan impak bahawa PDRM memandang serius kegiatan pusat hiburan yang menyalahi undang-undang di seluruh negara.

Loading...
Terkini