comscore
Tumpuan :
Nasional

717 projek naik taraf sekolah daif siap, 15 projek dinilai semula – KPM

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 183 projek dalam pembinaan, 176 berada di peringkat prabina manakala 15 lagi sedang dinilai semula. FOTO: Ihsan KPM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 717 daripada 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah siap sepenuhnya, setakat semalam.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 183 projek dalam pembinaan, 176 berada di peringkat prabina manakala 15 lagi sedang dinilai semula.

“Tempoh pembinaan bagi pelaksanaan projek ini adalah di antara enam bulan hingga 36 bulan tertakluk kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, sehingga tahun 2024, sebanyak 1,091 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah diluluskan dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM8.5 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 339 projek dilaksanakan di Sabah, 400 di Sarawak dan 352 lagi di negeri-negeri Semenanjung.

FOTO: Ihsan KPM

“Bagi memperkasakan pelaksanaan projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, KPM turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras pelaksanaan projek di pelbagai peringkat serta melaporkan status projek dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI.

“KPM terus menjadikan insiatif projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara sebagai keutamaan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid dapat dipertingkatkan,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini