Tumpuan :
Nasional

7,212 murid masih berada di 117 PPS aktif di premis sekolah – KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memaklumkan, seramai 7,212 murid masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) premis sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehingga jam 8 pagi hari ini, terdapat sebanyak 117 buah sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS iaitu 93 buah sekolah rendah dan 24 buah sekolah menengah.

“Kelantan mencatatkan seramai 5,305 orang murid, Terengganu pula 1,090 orang murid, Kedah seramai 767 orang murid, Melaka seramai 30 orang murid, Johor seramai 18 orang murid dan Perak seramai 2 orang murid yang masih berada di PPS hari ini”

Fadhlina berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu yang meminta KPM menyatakan berapa bilangan pelajar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dan jumlah sekolah yang digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan, sejak bermulanya Monsun Timur Laut pada 5 November 2024, sebanyak 470 buah institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai PPS melibatkan 392 buah sekolah rendah, 77 buah sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.

“3 negeri tertinggi yang mempunyai sekolah yang dijadikan PPS adalah Kelantan 240 buah sekolah, Terengganu 137 buah sekolah dan Kedah 51 buah sekolah”

Menurut beliau lagi, KPM juga menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) di PPS.

“SST terdiri daripada sukarelawan Guru Bimbingan dan Kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi banjir”

“AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS”. Katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini