Tumpuan :
Nasional

75 peratus baucar buku digital sudah ditebus

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menyampaikan sijil penyertaan kepada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad.

Oleh: Kumaran Rajamoney

GOPENG: Pemberian baucar buku yang dilaksanakan menerusi pelantar ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ (DELIMa) telah berjaya dimanfaatkan lebih 75 peratus pelajar di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata ia adalah menerusi pelaksanaan yang dilakukan melalui aplikasi Kota Buku Digital melibatkan peruntukan berjumlah RM287 juta.

“Menerusi langkah ini, aduan yang kita terima mengenai baucar buku ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya serta ditukar dengan tunai tidak lagi berlaku. Pembelian hanya boleh dilakukan secara atas talian, dan dihantar ke destinasi pembeli.

“Jadi, isu ketirisan dalam pengendalian peruntukan ini dapat dikurangkan sehingga tahap sifar peratus,” katanya.

Justeru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara telah diarahkan untuk mempergiat usaha bagi memastikan baki baucar dapat ditebus sepenuhnya pelajar dari darjah empat hingga peringkat menengah sebelum tarikh akhir pada 31 Disember depan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Pendidikan Digital bersama dengan rakan strategik Kementerian Pendidikan Malaysia 2024 di Gopeng, semalam.

Program ini disasar untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama yang berada di luar bandar bahawa pihak KPM sentiasa cakna terhadap hala tuju dan transformasi sistem pendidikan negara ke arah lonjakan pelaksanaan digitalisasi dalam bidang pendidikan secara menyeluruh dan lebih berkesan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini