comscore
Tumpuan :
Nasional

779 Kes kemalangan maut babitkan pelajar sekolah dalam 9 bulan tahun ini

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. -Foto NSTP


IPOH:
Sebanyak 779 kes kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah direkodkan di seluruh negara sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata sebanyak 4,043 kes kemalangan jalan raya membabitkan pelajar sekolah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Jumlah itu katanya, menunjukkan trend membimbangkan dan ia telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak Bukit Aman telah menyahut kebimbangan (Perdana Menteri) dan kita mengadakan operasi khas kemalangan jalan raya dengan memberi fokus kepada penunggang motosikal kerana ia adalah antara penyumbang kemalangan jalan raya paling tinggi berbanding kenderaan lain,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata sebanyak 498 pelajar sekolah yang berusia 17 tahun dan ke bawah terbabit dalam kegiatan “mat rempit” direkodkan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Terdahulu, Mohd Yusri dalam ucapannya berkata program advokasi kesedaran dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya dan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan jalan raya.

“Ia bagi mengurangkan kemalangan jalan raya melalui pendidikan dan latihan serta mendorong tingkah laku yang selamat ketika menggunakan jalan raya, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini