![](https://media.buletintv3.my/2025/01/8361BA97-DD9C-4D74-AB33-74353E615CAB.jpeg)
JOHOR BAHRU: Seorang peniaga cedera di tangan terkena minyak panas selepas gerai makannya terbakar di Jalan Emas Putih 5, Taman Sri Puteri, Skudai, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, kebakaran itu secara keseluruhannya membabitkan lapan gerai makan.
Katanya, 17 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Iskandar Puteri dan Larkin ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.44 petang.
![](https://media.buletintv3.my/2025/01/CB3CC7D0-64C2-42B2-975F-3AC890D5FCDB.jpeg)
Katanya, komander operasi adalah Pegawai Bomba Kanan 1 Suraini Adnan, manakala komander operasi kanan Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahari Safar.
“Lapan gerai terbakar antara 50 hingga 90 peratus manakala, sebuah motosikal musnah 95 peratus.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.23 petang dan padam sepenuhnya pada jam 7 malam. Peniaga gerai iaitu lelaki 37 tahun cedera di tangan kiri dan mendapat rawatan awal,” katanya hari ini.
![](https://media.buletintv3.my/2025/01/BOMBA.jpg)
Menurutnya, ketika kebakaran berlaku, peniaga itu sedang membuat persiapan untuk memasak dan berlaku letupan hingga menyebabkan tangannya terkena minyak panas.
“Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim berkata, terdapat pelanggan berada di tempat kejadian.
“Bagaimanapun kesemua peniaga mahupun pelanggan berjaya menyelamatkan diri dan hanya seorang mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.